GARIS PANDUAN PERMOHONAN PROJEK KECIL DI BAWAH INISIATIF KEMUDAHAN RAKYAT (IKR)

KRITERIA PROJEK

Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang diperkenalkan akan membolehkan rakyat memohon secara terus kepada Kementerian Ekonomi bagi pelaksanaan projek kecil di kawasan masing-masing. Projek kecil di bawah IKR adalah projek infrastruktur kecil awam yang memberikan kesan secara langsung/terus kepada rakyat (mesra rakyat) dalam aspek penggunaan dan manfaat segera. Projek yang dibiayai di bawah peruntukan ini hendaklah memenuhi kriteria berikut:
Projek infrastruktur kecil yang memberi manfaat segera kepada rakyat setempat/masyarakat umum;
Kos projek yang dimohon tidak melebihi RM200,000.00;
Projek hendaklah dapat dilaksanakan dalam tahun semasa, memenuhi ciri-ciri best value for money, tiada elemen bermewah-mewah (nice to have) dan amat diperlukan untuk kepentingan/kegunaan umum (must have);
Projek bukan untuk tujuan keperluan/aset individu dan tidak terletak di atas tanah milik persendirian serta tidak melibatkan pengambilan tanah; dan
Projek hendaklah tidak bertindih dengan projek yang telah memperoleh kelulusan peruntukan daripada agensi Kerajaan lain (Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri).
Skop bagi projek kecil di bawah IKR yang dibenarkan adalah kerja-kerja membaik pulih, menaik taraf, menyenggara dan mengganti/membina baharu infrastruktur kecil awam seperti berikut:
Parit, longkang dan culvert;
Jalan, jambatan, titi, laluan pejalan kaki dan low level crossing;
Cerun, tebing, gabion dan benteng;
Gelanggang sukan, padang permainan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan rekreasi;
Dewan terbuka, balai raya, hentian bas dan bumbung tapak perhimpunan sekolah; dan
Masjid/surau/madrasah.
Maklumat yang perlu dikemukakan semasa permohonan projek kecil di bawah IKR , antara lain adalah seperti berikut:
Nama projek dengan anggaran kos projek yang munasabah dan sepadan;
Gambar lokasi dan keadaan semasa projek yang dimohon; dan
Skop projek dan lain-lain maklumat yang menyokong permohonan projek.
Permohonan projek kecil di bawah IKR yang diterima akan disemak oleh Agensi Kerajaan (Persekutuan atau Kerajaan Negeri) yang dilantik oleh Kementerian Ekonomi bagi menentusahkan permohonan. Kelulusan projek adalah bergantung kepada kebolehlaksanaan, keutamaan projek serta peruntukan semasa Kerajaan. Kelulusan projek akan terbatal/dibatalkan sekiranya terdapat halangan/bantahan yang mengakibatkan pelaksanaan projek tidak dapat dimulakan.
Projek kecil yang diluluskan di bawah IKR akan dilaksanakan oleh Agensi Kerajaan (Persekutuan atau Kerajaan Negeri) yang dilantik oleh Kementerian Ekonomi.
Peruntukan bagi melaksanakan projek IKR yang diluluskan akan disalurkan kepada Agensi Kerajaan (Persekutuan atau Kerajaan Negeri) yang dilantik oleh Kementerian Ekonomi. Pelaksanaan projek yang diluluskan adalah mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.

PENUTUP

Garis Panduan ini berkuat kuasa mulai 20 Jun 2023. Pindaan kepada garis panduan ini akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan arahan Kerajaan yang berkuat kuasa.

BAHAGIAN BAJET PEMBANGUNAN

KEMENTERIAN EKONOMI

Tarikh: 20 Jun 2023